tertiary education graduates convocation universities UTHM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula cadangan untuk membenarkan graduan asing dari institut pengajian tinggi (IPT) tempatan bekerja dalam negara ini.

Ketua Biro Pendidikan dan Masyarakat Berilmu parti itu, Puvaniten a/l M. Helan Gova berkata, kerajaan sepatutnya mengambil kira nasib dan masa depan graduan tempatan sekiranya graduan asing diberikan kerja dalam sektor berkemahiran tertentu.

“Gerakan amat hairan dengan Kerajaan Madani atas keputusan untuk membawa masuk graduan asing tanpa mengambil kira perasaan dan masa depan graduan tempatan yang sungguh berbakat,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas beliau, alasan untuk menggunakan tenaga graduan asing bagi memenuhi industri sektor teknologi tidak munasabah kerana sepatutnya kerajaan bertanggungjawab melahirkan graduan tempatan yang berkemahiran tinggi.

“Alasan untuk memenuhi keperluan industri sektor teknologi tidak boleh diterima, sebaliknya kerajaan perlu mencari inisiatif lain termasuk bagaimana memenuhi permintaan sektor tersebut dan optimumkan pengambilan graduan tempatan.

“Kerajaan seharusnya bertanggungjawab melahirkan graduan tempatan yang berkemahiran tinggi dan mengiatkan fokus dalam menangani masalah gaji tidak selaras dengan kadar inflasi yang dialami oleh para pekerja di Malaysia sekian lama,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Gerakan turut menasihatkan kerajaan supaya menyelesaikan
masalah pengganguran untuk memastikan rakyat tempatan menerima bayaran dengan kadar upah yang sepatutnya.

“Malah, sehingga September 2023 sebanyak 35 peratus graduan dalam bidang jurutera memperoleh gaji permulaan kurang daripada RM2,000. Adakah kerajaan benar-benar percaya bahawa graduan asing sanggup tinggal dan bekerja di Malaysia dengan gaji sebegini?,” soalnya.

Baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata langkah kerajaan membenarkan graduan asing bekerja dalam sektor teknologi tinggi di Malaysia adalah bersifat sementara untuk memenuhi keperluan industri di negara ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast