Buat julung kalinya Coldplay mengadakan konsert di Malaysia pada 22 November 2023

KUALA LUMPUR – Konsert The Music of the Spheres World Tour yang dijayakan oleh kumpulan Coldplay berjaya memecahkan rekod konsert paling ramai dihadiri di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November tahun lalu dengan kehadiran lebih 75,000 orang.

Akaun Coldplay Charts X memberitahu, persembahan di Malaysia untuk Jelajah Dunia Muzik Sfera ity adalah konsert yang paling ramai dihadiri sepanjang kerjaya Coldplay dengan penjualan tiket sebanyak 81,812.

Malah konsert Kuala Lumpur itu turut meraih kutipan AS$10,904,369 atau RM51,953,866.

Untuk rekod, pada Januari lalu, peminat Coldplay di Malaysia berada di tangga ketiga dalam senarai negara yang memulangkan kembali gelang tangan.

Sebelum ini terdapat beberapa isu di mana beberapa peminat di negara lain tidak memulangkan kembali gelang tangan yang diberikan semasa konsert.

Melalui ciapan yang dibuat akaun X Coldplay Malaysia, difahamkan bahawa Kuala Lumpur berada di tangga ketiga dalam senarai peminat yang memulangkan kembali gelang tangan selepas konsert.

Sementara itu, laman akaun itu turut berkongsi pencapaian konsert tersebut di lokasi lain antaranya konsert di Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia sebagai kutipan tertinggi berjumlah lebih RM66 juta dengan jualan tiket sebanyak 78,541 unit.

Untuk keseluruhan kutipan di negara Asia, Coldplay berjaya memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM616 juta dan nilai itu adalah yang tertinggi berbanding mana-mana penyanyi Barat lain.

Secara keseluruhan, konsert Coldplay yang kini masih berlangsung di beberapa lokasi sudah mencatat kutipan sebanyak RM3.8 bilion dengan jualan sebanyak 7,660,000 tiket.

Selain Kuala Lumpur dan Jakarta, kumpulan itu turut mengadakan persembahan selaman enam hari di Singapura, Manila, Filipina (dua hari), Bangkok, Thailand (dua hari) serta beberapa lokasi lain. – MalaysiaGazette