BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak cadangan Hamas untuk gencatan senjata dan mengarahkan tentera rejim itu bersiap sedia untuk bergerak ke bandar Rafah di selatan Gaza.
Rafah kini menjadi tempat perlindungan bagi lebih sejuta rakyat Palestin telah mencari perlindungan.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken bercakap di Tel Aviv beberapa jam selepas bertemu Netanyahu berkata, beliau masih melihat “ruang untuk mencapai persetujuan” dan telah memberi amaran kepada pemimpin Israel itu terhadap tindakan dan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan.
Netanyahu telah memberitahu taklimat televisyen bahawa beliau telah mengarahkan tentera untuk “bersedia untuk beroperasi” di Rafah dan “kemenangan total” oleh Israel ke atas Hamas hanya beberapa bulan lagi.
Malah, beliau turut memberi amaran “permintaan aneh” oleh Hamas untuk gencatan senjata yang tidak akan membawa kepada pemulangan tebusan hanya akan mengundang satu lagi “pembunuhan beramai-ramai”.
Di Beirut, seorang pegawai kanan Hamas berkata, “desakan Netanyahu untuk meneruskan pencerobohan itu benar-benar mengesahkan tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin”.
Sehubungan itu, Osama Hamdan, menggesa “semua puak penentang untuk meneruskan perjuangan” dan berhati-hati dengan “pengkhianatan Israel pada suku jam terakhir konfrontasi ini”.
Salah seorang tebusan yang dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata sementara yang diuruskan pada November juga memberi tekanan kepada pemimpin Israel itu.
“Semuanya di tangan anda,” kata Adina Moshe pada sidang akhbar di Tel Aviv – kenyataan yang ditujukan kepada Netanyahu.
“Andalah orangnya. Dan saya sangat takut dan sangat bimbang jika anda terus memusnahkan Hamas ini, tidak akan ada tebusan lagi untuk dibebaskan,” katanya. – Agensi