KUANTAN – Nampaknya masih ada pihak yang mementingkan diri sendiri dan ingkar peraturan supaya jangan menggunakan kenderaan berat menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina.
Menerusi kenyataan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, seorang pemandu lori treler ditahan ketika sedang melalui jalan membawa muatan besi buruk di Kilometer 134, Jalan Kuantan – Segamat hari ini.
”Pada pukul 1.20 petang tadi, anggota Stesen Penguat Kuasa (SPK) Keratong telah menahan sebuah motolori jenis semi treler – kargo am yang membawa muatan besi buruk di KM 134 Jalan Kuantan – Segamat.
”Pemandu yang ingkar ini telah dikenakan saman Memandu Kenderaan Barangan Dalam Tempoh Larangan di bawah Kaedah 2(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan) dan kenderaan ditahan sehingga tamat tempoh larangan.
”Patuhi peraturan jalan raya, ini kerana peraturan ini juga dilihat sebagai satu usaha mengurangkan kesesakan ketika musim perayaan,” katanya.
Tegas pihak JPJ, peraturan yang digariskan adalah satu satu usaha dalam mengurangkan kadar kemalangan diharapkan dapat dipatuhi oleh semua pengguna jalan raya.
Terdahulu larangan penggunaan kenderaan berat sempena perayaan Tahun Baru Cina telah ditetapkan hari ini dan 9 Februari depan untuk sebelum perayaan serta 12 dan 13 Februari 2024 untuk selepas perayaan.
JPJ Pahang akan meneruskan penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemandu yang masih berdegil serta ingkar peraturan dan undang-undang jalan raya. – MalaysiaGazette