Majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dan CMT yang berlangsung baru-baru ini di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai salah satu universiti terbaik dunia kini memperluaskan wilayah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi di Sri Lanka menerusi usaha pembukaan pusat pembelajaran di negara itu.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM sentiasa bergerak maju ke hadapan dan langkah tersebut merupakan salah satu inisiatif dari pihaknya dalam usaha pemerkasaan pengantarabangsaan TVET.

“Pusat Pembelajaran UTeM di Sri Lanka merupakan hasil kerjasama dengan salah satu Institusi Pendidikan Tinggi di sana, iaitu College of Management and Technology Campus, Sri Lanka (CMT).

“Pusat pembelajaran ini akan ditubuhkan dengan tujuan melaksanakan dan menawarkan program serta aktiviti akademik dan penyelidikan bersama antara UTeM dan CMT di negara tersebut.

“Sehubungan dengan itu, untuk menzahirkan kerjasama strategik ini, UTeM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CMT baru-baru ini di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka,” katanya dalam kenyataan pada Selasa lalu.

Katanya, MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim bersama Prof Dr Syaiful Rizal Abdul Hamid, Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT).

Tambah beliau, pihak CMT pula diwakili oleh Pengerusi College of Management & Technology Campus, Dr. A.M. Jameel dan Pengarah Eksekutif CMT Campus, P. M. Naleem.

Menurutnya, melalui kerjasama MoU tersebut, beberapa agenda lain lagi turut akan dilaksanakan bersama seperti pertukaran staf akademik dan pelajar dalam perkembangan akademik untuk kedua-dua pihak.

“Pada masa yang sama turut akan diadakan penganjuran aktiviti bersama seperti seminar, bengkel dan perkongsian bahan yang berkepentingan bersama.

“Selain itu, kedua-dua pihak turut akan menjayakan kerjasama berkaitan pengajaran dan penyelidikan dalam bidang berkepentingan bersama,” ujarnya.

“Pengantarabangsaan pengajian tinggi adalah salah satu inisiatif strategik yang perlu diberikan penekanan untuk memartabatkan kedudukan UTeM di persada dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast