BUKIT MERTAJAM – Lima anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang pekerja kilang pada 1 Februari lalu.
Tertuduh, Sarjan Rozaini Abu Hassan, 48; Koperal Muhammad Mustaqim Ismail, 35; Lans Koperal Muhamad Syakir Haikal Hasli, 24; Koperal Mohd Nurizuan Ahmad Suhaimi, 38 dan Lans Koperal Muhamad Khusairi Ahamad, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dihadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan, kelima-lima didakwa secara bersama melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun.
Pemerasan itu didakwa berlaku kerana mangsa memiliki dadah berbahaya sehingga mendorongnya menyerahkan wang berjumlah RM4,500.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Tinggi menghala ke Simpang Ampat dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 10.15 malam pada 1 Februari lalu.
Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaraya negeri, Mohd Nordin Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili peguam VS. Kumar.
Ketika prosiding, Mohd Nordin menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap setiap tertuduh selain meminta mahkamah menetapkan syarat tambahan dengan semua tertuduh tidak dibenarkan mendekati saksi sehingga kes selesai.
Bagaimanapun Kumar memohon agar mahkamah memberikan jaminan munasabah kepada semua anak guamanya atas alasan masing-masing perlu menanggung isteri, anak yang masih kecil termasuk ada yang berstatus orang kelainan upaya (OKU).
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan jaminan akan ditarik sekiranya mana-mana tertuduh atau pihak mewakili mereka menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula 15 Mac depan untuk serahan dokumen.
Terdahulu, pihak media berdepan kesukaran merakamkan wajah kesemua tertuduh susulan masing-masing mereka dibawa secara bersama dengan tahanan lain.
Malaysia Gazette pada Sabtu lalu melaporkan, lima anggota polis termasuk seorang berpangkat Sarjan diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kes peras ugut RM4,500 daripada seorang pekerja kilang dalam kejadian di Jalan Permatang Tinggi di Bukit Mertajam. – MalaysiaGazette