Datuk Ahmad Hairi Hussain menyampaikan sumbangan RM50,000 bagi penggantian karpet kepada Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al - Musta'in Billah, Temerloh Pahang pada semalam.

KUANTAN – Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang sekali lagi akan melaksanakan Bulan Zakat dan Wakaf (BZW) menjelang bulan Syaaban buat kali kedua selepas melaksanakannya tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, BZW bagi membangkitkan kesedaran supaya umat Islam memperbanyakkan amalan berzakat dan berwakaf menjelang bulan Ramadan nanti.

Datuk Ahmad Hairi Hussain

”BZW kali ke-2 ini selepas diadakan pada bulan Syaaban sama seperti tahun yang lepas.

”Zakat harta yang dikutip pada tahun 2023 sebanyak RM215.1 juta dan zakat fitrah sebanyak RM8.76 juta, menjadikan jumlah RM223.9 juta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Hairi, menunaikan zakat sebagai Rukun Islam dan wakaf sebagai amalan sunat yang sangat digalakkan kerana kedua-duanya menyumbang kepada kekuatan ekonomi ummah.

Tambahnya, dana zakat yang diagih pada tahun lepas adalah sebanyak RM230 juta dengan bilangan pembayar lebih 135,000 asnaf di Pahang.

Agihan zakat tahun lalu melibatkan sejumlah RM98.1 juta untuk fakir miskin, dermasiswa dan pendidikan lain (RM44.6 juta), pengurusan masjid surau (RM21.4 juta), dakwah dan pembangunan modal insan (RM6.6 juta) serta pembangunan asnaf (RM4.0 juta).

Meskipun tunai yang diperoleh masih agak kecil amaunnya iaitu hanya RM3.5 juta dengan bilangan pewakaf seramai 7,001 orang, namun wakaf hartanah yang diterima sebanyak 46 bidang dengan nilai melebihi RM10 juta.

”Potensi wakaf tunai adalah sangat besar kerana akan disalurkan kepada lima kategori iaitu keagamaan, pendidikan, kesihatan, sosial dan ekonomi.

”Pada tahun 2023 agihan dana wakaf adalah berjumlah RM2,158,518.74 iaitu sebanyak 62% telah diagihkan,” ujar Hairi.

Tahun ini katanya, sebanyak 48 aktiviti yang telah dirancang di seluruh negeri sempena BZW dan berharap dapat meningkatkan kesedaran dan penglibatan umat Islam untuk terus berzakat dan berwakaf. – MalaysiaGazette