ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu.

KUANTAN – Polis Kuantan telah menerima sebanyak 45 permohonan bagi mendapatkan lesen menjual bunga api dan mercun sempena perayaan Tahun Baru Cina di daerah ini

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 29 permohonan diluluskan.

”Manakala 16 permohonan telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

”Bunga api yang diterima permohonan ia jenis happy boom, Pop pop,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, jualan bunga api itu hanya dibenarkan pada musim perayaan Tahun Baru Cina, Aidilfitri, Aidiladha, Deepavali, Krismas, Hari Gawai dan Keamatan.

Sementara itu, Wan Zahari mengingatkan masyarakat supaya tidak bermain bunga api selepas jam 12 malam kerana perbuatan tersebut boleh mengganggu masyarakat.

Tambah beliau, penjual juga dilarang menjual bunga api dan mercun kepada individu di bawah 18 tahun serta tidak dibenarkan melakukan urusniaga secara online.

Pada tahun lalu, sebanyak 50 permohonan lesen bagi penjualan bunga api dimohon dan 35 daripadanya diluluskan di Kuantan. – MalaysiaGazette