Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Polis menerima tiga laporan daripada peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mendakwa menerima ugutan melalui laman media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ugutan itu diterima Nik Elin berikutan tindakannya memfailkan petisyen untuk memohon deklarasi daripada Mahkamah Persekutuan bahawa 18 seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan adalah tidak berperlembagaan kerana kesemuanya telah digubal dalam undang-undang Persekutuan.

“Tiga laporan polis itu telah dibuka kertas siasatan dan telah dijalankan siasatan serta diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai sembilan anggota, selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman, bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Menurut Allaudeen, kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar, kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Satu kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan arahan lanjut manakala dua lagi kertas siasatan masih berada dalam siasatan polis.

“Dalam perkara berkaitan, polis telah memohon bantuan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenalpasti pemilik akaun media sosial yang terlibat (menghantar ugutan jenayah),” ujarnya.

Berikutan itu, Allaudeen menasihati orang awam supaya tidak mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan di media sosial yang mana tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun dan Seksyen 233 AKMM 1998 memperuntukan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette