Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio.

JOHOR BAHRU – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio akan mengambil pendekatan berbeza apabila berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras malam esok.

Pengendali kelahiran Argentina itu berharap dapat mengulangi kejayaan menumpaskan KL City FC 3-0 di laman sendiri di sini dalam aksi Liga Super minggu lalu.

Beliau berkata, skuad Harimau Selatan itu akan memanfaatkan peluang beraksi semasa beraksi menentang skuad kendalian Miroslav Kuljanac itu nanti.

Sehubungan itu, Bidoglio tidak merancang untuk tidak menunjukkan taring apabila bertandang ke Stadium KLFA Cheras sebaliknya membariskan skuad terbaiknya.

“Walaupun berjaya menewaskan mereka minggu lalu, ia adalah perlawanan yang berbeza. Kami tidak mahu Piala Malaysia terlepas dari genggaman, jadi pastinya akan memberikan saingan sengit bagi mempertahankannya.

“Justeru, kami perlu tampil dengan corak permainan yang agresif untuk mencari bekalan selesa untuk menghadapi aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, 21 Disember ini.

“Untuk itu, pemain tidak boleh bersikap sambil lewa dalam aksi pertama nanti dan perlu mencari gol yang memberi kelebihan kepada pasukan,” katanya.

Menjelang pertemuan itu ujarnya, barisan kejurulatihan akan memberi tumpuan bagi meningkatkan skil individu pemain agar dapat melicinkan tempo permainan pada perlawanan penting itu.

Katanya, tahap kecergasan pemain turut menjadi ukuran setelah melalui kempen saingan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), sebelum ini.

“Perkara itu tidaklah begitu membimbangkan kerana JDT mempunyai skuad yang besar dan semua pemain sudah bersiap sedia untuk memberikan yang terbaik apabila diberikan kepercayaan untuk beraksi,” katanya.

Ditanya mengenai ‘kehilangan’ pemain tengah, Shio Hong Wan, beliau berkata, pemain utama pasukan itu mengalami kecederaan dan masih dalam proses pemulihan malah mengambil tempoh yang lama untuk pulih sepenuhnya.

“Hong Wan pemain penting bagi kami tapi dia mengalami kecederaan di kaki kanan dan saya berharap dia akan kembali menjalani semula, biarlah dia pulih sepenuhnya untuk kembali menyertai latihan bersama rakan sepasukan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast