Foto Facebook Pandelela Rinong.

KUALA LUMPUR – Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong secara terbuka memohon maaf atas kegagalannya meraih slot kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menerusi hantaran di laman media sosialnya hari ini, dia berkata, walaupun sudah berusaha sehabis baik, prestasi di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu akan dijadikan sebagai pengajaran untuk bangkit kembali.

“Walaupun saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk menghadapi Kejohanan Dunia Doha… baik dan buruknya, saya akan mengambil ia sebagai pengajaran untuk melangkah (lebih baik) di masa akan datang.

“Saya dengan ikhlas ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan semua dalam perjalanan saya di kelayakan Olimpik ini dan maafkan saya kerana tidak dapat menunaikan janji saya kali ini.

“Begitupun, saya akan terus berusaha dan bangkit semula pada kejohanan akan datang, kerana saya belum lagi selesai (dalam perjuangan) dan akan terus yakin dengan perancangan Tuhan,” kata Pandelela yang berusia 30 tahun itu.

Pandelela yang berada dalam senarai atlet dalam program Road To Gold (RTG) terlepas peluang ke Paris 2024 apabila terkandas di pusingan kelayakan di Doha dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individu.

Berdasarkan rekod, Pandelela pernah beraksi dalam empat Sukan Olimpik bermula dari Beijing 2008, London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Pada London 2012, atlet kelahiran Sarawak itu mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik (gangsa) menerusi acara 10m platform individu.

Empat tahun kemudian di Rio 2016, dia meraih pingat perak bersama bekas penerjun, Cheong Jun Hoong menerusi acara 10m platform seirama wanita.

Kegagalannya layak beraksi di Paris bermakna beliau turut gagal menyamai rekod dipegang bekas penerjun negara, Datuk Leong Mun Yee yang menjadi atlet tunggal negara yang membuat lima penampilan Olimpik.

Untuk rekod, setakat ini, hanya seorang atlet terjun negara iaitu Bertrand Rhodict Lises yang sudah mengesahkan tiket ke Olimpik Paris dalam acara 10m platform individu ketika Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast