Mohd Jafni Md Shukor mewakili kerajaan negeri menerima sumbangan SWM Environment untuk disalurkan kepada 750 keluarga B40 di Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menyalurkan sumbangan berbentuk kotak makanan dengan nilai keseluruhan RM112,500.00 kepada Kerajaan Negeri Johor.

Sumbangan itu untuk diserahkan kepada 750 buah keluarga sempena perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, sumbangan SWM Kasih tersebut bukan sekadar menyumbang kepada golongan sasar di negeri ini.

Sebaliknya ia tanda sokongan syarikat terhadap strategi Johor Berkebajikan bagi menjayakan Agenda Maju Johor yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

“SWM Environment melalui entiti CSR SWM Kasih telah membina hubungan baik bersama masyarakat setempat melalui usaha kebajikan dan kesejahteraan komuniti di kawasan perkhidmatan bermula sejak 10 tahun yang lalu.

“Sepanjang tempoh tersebut, lebih 100 inisiatif SWM Kasih berbentuk bantuan kotak makanan, kebajikan, perayaan, pendidikan dan bencana alam telah dilaksanakan oleh SWM Environment di negeri Johor yang memberi manfaat kepada lebih 10,800 buah keluarga di seluruh negeri Johor,” katanya hari ini.

Sumbangan kotak makanan SWM Kasih mengandungi barangan keperluan asas harian seperti beras, minyak, tepung, susu dan kuih raya telah diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor, Mohd Jafni Md Shukor.

Katanya lagi, CSR di negeri Johor melalui platform Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dan entiti SWM Kasih yang bermatlamat memberi nilai tambah terhadap kesejahteraan masyarakat dan kelestarian persekitaran. – MalaysiaGazette