JOHOR BAHRU – Sebanyak lapan kematian direkodkan setakat hari keempat Op Selamat 21 semalam, sempena Tahun Baru Cina 2024 yang dilaksanakan di negeri ini.
Ketua Polis Johor CP M. Kumar berkata, jumlah berkenaan berkurangan sebanyak 55.6 peratus berbanding 18 kematian pada tahun lepas.
Beliau berkata, jumlah kemalangan bagi tempoh sama turut menurun sebanyak 857 kes atau 17.52 peratus berbanding 1,039 kes direkodkan tahun sebelumnya.
“Menerusi operasi ini juga, kita menahan 21 individu berusia antara 18 tahun hingga 53 tahun atas pelbagai kesalahan, termasuk mabuk, samseng jalanan, ulat parking haram dan tangkapan kes urin,” katanya pada program Menyantuni Petugas Ops Selamat 21 di persimpangan Jalan Lingkaran Dalam, di sini malam tadi.
Jumlah saman trafik bagaimanapun katanya meningkat kepada 20,664 tahun ini berbanding 9,021 tahun lepas.
Justeru beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan berhemah ketika memandu serta mengikuti jadual cadangan perjalanan yang dikeluarkan pengendali lebuh raya. – BERNAMA