KUALA LUMPUR – Gerakan BDS (Boycott, Divestment, Sanctions) Malaysia menganjurkan kempen membunyikan hon kenderaan ketika melalui depan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak.
Gabungan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang mempromosikan kebebasan, keadilan dan kesaksamaan terhadap Palestin menerusi boikot (Boycott), lupus (Divestment) dan sekat (Sanctions) memulakan kempen tersebut hari ini.
Melalui poster yang dikongsi di media sosial, rakyat Malaysia yang bersimpati dengan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlangsung di Gaza diajak membunyikan hon dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.
Menurut BDS Malaysia, kempen bunyikan hon tersebut sebagai tanda membantah tindakan AS yang membiarkan sekutunya, Israel terus membunuh penduduk Gaza.
“Hon untuk menyokong Palestin, apabila anda melepasi kedutaan AS, kreatif dengan hon anda, sepanjang hari dari 8 pagi hingga 6 petang. Biarkan mereka mendengar kita,” kata salah satu daripada poster yang dikongsi.
Sejak beberapa minggu yang lalu BDS Malaysia menganjurkan demonstrasi sebagai bantahan terhadap Amerika Syarikat yang dilihat sebagai sekutu kuat Israel.
Negara itu bukan sahaja gagal menghentikan tindakan kejam Israel terhadap penduduk Gaza malah turut menyediakan dana dan peralatan senjata yang dilihat membantu regim zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Pengeboman Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 28,340 nyawa di Gaza dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Peperangan Israel ke atas Gaza telah menyebabkan 85% penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Sebanyak 60% daripada infrastruktur wilayah itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.
Dalam keputusan sementara pada bulan Januari, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengarahkan kerajaan Israel untuk menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bahawa bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.