KUALA LUMPUR – Impian pasukan Sabah FC untuk melangkah ke final Piala AFC musim ini musnah selepas tewas 0-3 kepada wakil Australia, Macathur FC pada aksi separuh akhir zon Asia Tenggara hari ini.
Pada perlawanan di Stadium Campbelltown, New South Wales itu, skuad The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee menurunkan kesebelasan terbaik dengan kehadiran tonggak kebangsaan seperti Darren Lok, Daniel Ting dan Stuart Wilkin.
Namun, tuan rumah lebih banyak menguasai sebahagian besar babak pertama sebelum membuka tirai jaringan menerusi penyudah Ulises Davila pada minit ke-40.
Bagai terkejut daripada lena, skuad Sabah berusaha untuk bangkit pada babak kedua tetapi dikejutkan dengan gol awal apabila Jed Drew melebarkan kelebihan seminit selepas perlawanan bersambung semula.
Pasukan Macathur terus garang apabila Drew sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila bijak menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-80 dengan keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Macathur mara ke peringkat final zon Asia Tenggara yang dijadualkan berlangsung pada 22 Februari depan. – MalaysiaGazette