Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 14 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas Penasihat Undang-Undang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan hari ini memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah bersemuka dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mahkamah turut diberitahu bahawa Jasmine juga tidak pernah mendapat tandatangan daripada bekas Perdana Menteri itu untuk dokumen berkaitan pelaburan syarikat dana strategik negara tersebut.

Jasmine berkata, beliau hanya menyerahkan dokumen terbabit kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang juga merupakan Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan tandatangan Najib.

Saksi ke-50 itu mendakwa, pada kebiasaannya Jho Low akan meminta beliau datang ke rumah Najib namun dia akan menunggu di luar rumah bekas Perdana Menteri itu dan hanya Jho Low memasuki kediaman tersebut.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan, Jasmine berkata, beliau tidak pernah pernah memasuki kediaman Najib setiap kali urusan serahan dokumen pemegang saham keutamaan 1MDB dan Minit Wakil Syarikat Induk pada 2012 dan 2013 dilakukan.

Ketika membacakan pernyataan saksinya, Jasmine memberitahu, beliau akan menyerahkan dokumen yang telah dicetak kepada Jho Low di pintu rumah Najib di Jalan Langgak Duta, di sini.

”Saya tidak pernah masuk ke rumah Najib. Şama ada Jho Low sudah tunggu di depan pintu masuk rumah Najib atau saya diarahkan tunggu sahaja di luar. Hanya Jho Low sahaja akan berjumpa Najib,” ujarnya.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Selain itu ada ketikanya jika tidak serahkan kepada Jho Low maka beliau akan menyerahkan dokumen kepada pihak yang telah diarahkan untuk mendapatkan tandatangan, ujarnya.

Semalam Jasmine memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah bertemu Najib secara sendirian, sebaliknya hanya  berkesempatan berjumpa pemimpin negara itu pada mesyuarat pengurusan syarikat atau acara yang diserta ramai orang.

Pagi tadi, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan prosiding selama lebih sejam kerana menunggu kehadiran peguam utama pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang difahamkan mempunyai kes lain di Mahkamah Rayuan.

Adik kepada Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Mohamed Nazir hadir pada prosiding 1MDB pagi ini. Beliau kelihatan ceria bertemu dengan abang beliau di Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta. Foto SYADILA AMARI, 14 FEBRUARI 2024.

Turut kelihatan pagi ini ialah kehadiran adik kepada Najib, Tan Sri Nizar Razak di perkarangan mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast