Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Saksi ke-50 perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendakwa pernah menerima ugutan daripada Low Taek Jho atau Jho Low supaya tidak sesekali pulang ke Malaysia selepas kekalahan besar Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Jasmine Loo Ai Swan yang merupakan penasihat Undang-Undang 1MDB mendakwa, Jho Low yang kini sedang diburu mengugutnya supaya tinggal di luar negara jika tidak mahu kehidupannya bertukar menjadi ‘neraka’.

“Jho Low beri kata dua kepada saya, jika saya cuba pulang ke Malaysia, dia akan gunakan semua pengaruh dan kuasanya untuk menjadikan hidup saya seperti duduk dalam neraka.

“Dia bersumpah dengan ugutan mengatakan saya akan temui ‘penghujung yang mengerikan’ jika pulang dari Thailand,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada prosiding penyelewengan dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib ketika itu duduk di kandang tertuduh memerhatikan Jasmine yang memberikan keterangan pada hari kedua hari ini.

Jasmine tidak pernah meninggalkan Thailand selama lima tahun sejak menerima ugutan itu dan hanya pulang tahun lalu.

Wanita ini berkata, dia tidak menerima sebarang ugutan sejak kepulangannya sejak itu.

Dedahnya, Jho Low akan memberikannya dana sebanyak AS$2,500 setiap tuduh atau lapan bulan melalui orang-orang yang tidak dikenalinya.

“Saya terpaksa hidup dengan dana diberikan oleh Jho Low. Memang sangat menyedihkan untuk hidup seperti ini, lagi-lagi dengan manusia yang ugut saya seperti itu tapi apakan daya saya. Saya terpaksa teruskan kehidupan saya.

“Saya pulang ke Malaysia tanpa pengetahun Jho Low kerana takut nyawa saya dalam bahaya,” katanya.

Jasmine juga mendakwa, dia duduk di Thailand sejak 2018 sehingga 2023 dan hanya mengetahui perkembangan kes 1MDB melalui media sahaja.

“Saya juga dapat tahu pemberi maklumat warga Switzerland berkaitan 1MDB, Xavier Andre Justo ditangkap dan dipenjarakan. Oleh itu, lebih baik saya kekal sahaja di Thailand. Saya kembali selepas peguam berjaya membuat rundingan selamat untuk saya pulang,” ujarnya.

Najib ketika ini sedang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast