Saifuddin Nasution Ismail menyertai kakitangan Maritim Malaysia dalam majlis bacaan yasin dan doa selamat malam ini.

KUANTAN – Seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan besar kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk mengawal perairan negara yang berkeluasan 556,285 kilometer persegi daripada segala ancaman jenayah laut.

Oleh itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerjaya dan tugas sebagai penguat kuasa Maritim Malaysia sangat penting kerana melindungi perairan dan kedaulatan negara.

”Justeru seluruh pegawai dan anggota Maritim Malaysia perlu sentiasa siapsiaga memberikan khidmat dan bakti kepada negara kerana tugas dan tanggungjawab ini akan memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersama lebih 500 jemaah yang terdiri daripada pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah hadir pada majlis bacaan yasin dan doa selamat malam ini.

Majlis tersebut diadakan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke- 19 (HUT19) Maritim Malaysia di Masjid Mustaghfirin, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini malam ini.

Terdahulu majlis tersebut telah dimulakan dengan sesi Ceramah Agama oleh Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham, dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan ceramah bertajuk “Israk Mikraj Suatu Perjalanan Agung Rasulullah SAW Suatu ketahanan Jiwa dan Spritual Rasulullah SAW sebagai mentor perjuangan Maritim Malaysia.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat maghrib dan solat hajat berjemaah serta bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Kepten Maritim Nik Kamaruddin Yunoh.

Hadir sama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Mohd Norzam Mustapa. – MalaysiaGazette