Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Semua anggota dan pegawai polis di ibu negara diminta berada dalam keadaan cergas dengan memastikan jisim indeks tubuh (BMI) berada pada paras yang telah ditetapkan pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, setiap anggota dan pegawai yang mempunyai BMI berlebihan disaran menjalankan latihan jasmani.

“Menyentuh isu kesihatan khususnya BMI anggota saya anggarkan daripada 10,000 kira-kira dua ke tiga peratus ada masalah berat badan berlebihan.

“Tugas polis ini mencabar dan antara cara untuk menghadapi tekanan dan cabaran adalah dengan kesihatan badan yang baik, fit (cergas),” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Allaudeen, walaupun pihaknya tidak menetapkan tempoh masa pegawai dan anggota yang mempunyai masalah berat badan, namun pendekatan yang diambil ialah ia perlu dilakukan secepat mungkin.

“Kalau turunkan berat badan barulah boleh nampak segak jika berpakaian seragam dan boleh mendapat keyakinan masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Allaudeen berkata, pihaknya akan turun padang dan memantau anggota bertugas di lapangan, seperti mana yang dilakukan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain ke beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baru baru ini.

“Polis KL kami ambil iktibar (lawatan mengejut KPN) dan saya sudah arahkan semua ketua jabatan, KPD (Ketua Polis Daerah), termasuk saya sendiri pastikan turun melawat balai dan IPD serta anggota dan pegawai di lapangan,” katanya

Tambah beliau, tindakan tersebut selaras dengan arahan untuk melakukan pemantauan dalam usaha memastikan tiada penyelewengan dan tugasan dilaksanakan dengan baik,”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast