Petugas RapidKL melakukan persediaan pada gerabak MRT yang kini beroperasi secara percuma bermula hari ni sehingga 31 Mac selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan MRT Laluan Putrajaya di Depoh MRT Serdang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 16 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya telah mengalami kelewatan jadual perjalanan di antara Stesen Taman Naga dan Stesen Sungai Besi akibat daripada insiden pencerobohan landasan.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku pada pukul 4.56 pagi dan pihaknya berjaya menangkap suspek yang mengalami kecederaan.

“Pihak Polis Bantuan telah mengesan suspek berada di kawasan landasan dan memaklumkan kepada pihak Pusat Kawalan Operasi (OCC).

“Bekalan kuasa segera dimatikan di kawasan terbabit bagi membolehkan Polis Bantuan dan petugas stesen masuk ke kawasan landasan untuk menangkap suspek.

“Pada jam 5.40 pagi, penceroboh telah berjaya dikesan dan mengalami kecederaan.

“Pasukan penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan anggota perubatan telah tiba di Stesen Taman Naga Emas pada jam 6.30 pagi dan suspek telah berjaya dibawa keluar dari kawasan landasan pada jam 7.11 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihak operasi telah mengaktifkan perkhidmatan rel alternatif dan bas perantara percuma disediakan di antara Stesen Kuchai dan Stesen Serdang Raya Utara bagi kemudahan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi.

Pihak Pusat Kawalan Operasi (OCC) juga telah menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut atas faktor keselamatan dan mengikut piawaian standard operasi sebelum bekalan kuasa diaktifkan semula.

Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya kembali pulih sepenuhnya pada jam 7.36 pagi dan jadual perjalanan diselaraskan secara berperingkat.

“Rapid Rail memohon maaf di atas kelewatan dan kesulitan yang telah dialami oleh pengguna pada pagi ini,” katanya.

Siasatan menyeluruh akan dijalankan bersama pihak berkuasa agar langkah keselamatan dapat diperkemaskan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi.-MalaysiaGazette