SUBANG – Polis memulakan siasatan insiden dua kanak-kanak mengeluarkan kepala mereka dari ‘sunroof’ kereta yang sedang bergerak di atas jalan raya.
Selain itu, kereta yang dinaiki mereka tidak berhenti semasa isyarat lampau merah di persimpangan jalan.
Video yang memaparkan insiden itu tular di media sosial sehingga mengundang kecaman warga maya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata,
video berdurasi 29 saat itu dikesan tular semalam lebih kurang 10.12 pagi.
Katanya, siasatan lanjut mendapati insiden itu berlaku di Persiaran Putra Perdana,Putra Heights pada Isnin lalu, jam 3.23 petang.
“Video ini dilihat menerusi akaun pemilik twitter @ anthraxxx781, memaparkan dua orang kanak-kanak mengeluarkan kepala melalui “sunroof” kereta yang sedang bergerak di atas jalan raya.
“Semakan mendapati pemilik kereta merupakan satu lelaki warga tempatan yang juga tinggal di Putra Heights,’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemandu kenderaan itu telah dikenalpasti dan akan dipanggil untuk diambil keterangan membantu siasatan lanjut polis.
Kes sedang disiasat di Bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada kesalahan kecuaian terhadap kanak-kanak, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi selama tempoh dua puluh tahun dan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Wan Azlan berkata, polis juga akan mengeluarkan saman terhadap pemandu berkenaan atas kesalahan tidak berhenti semasa lampu isyarat merah. – MalaysiaGazette