Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ashraf Wajdi Dusuki berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Pehimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2018.
Ashraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR – UMNO berharap Jawatankuasa Khas Mengkaji Kopentasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Mengubal Undang-Undang Islam perlu membuat cadangan bagi menaiktaraf Akta 355.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan menaiktaraf Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 telah tertangguh lama.

Cadangan penting termasuk menaikkan had hukuman denda maksimum daripada RM5,000 kepada RM100,000.

Katanya, kali terakhir Akta 355 dipinda ialah pada 1984 yang menyaksikan hukuman had denda maksimum dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM5,000.

Menurut beliau, setelah 40 tahun adalah tidak munasabah had denda masih kekal pada RM5,000 sedangkan status ekonomi dan pendapatan rakyat sudah jauh berubah.

“Contohnya kes-kes yang melibatkan penafian hak ke atas wanita atau isteri yang menuntut nafkah atau harta sepencarian apabila ditinggalkan suami kerana kahwin lain dan sebagainya.

“Banyak kes suami lebih rela bayar denda RM5,000 daripada kena bayar nafkah atau tuntutan harta sepencarian yang berjumlah puluhan atau ratusan ribu kepada isteri.

“Ini contoh ketidakadilan kepada wanita lantaran kekangan perundangan seperti had bidang kuasa hukuman mahkamah syariah,” tegasnya.

Penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam diumumkan pada 5 Disember tahun lalu.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas tersebut.

Jawatankuasa Khas bertanggungjawab untuk mengkaji isu-isu yang melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri khususnya berkaitan dengan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jawatankuasa itu akan melihat dan memperhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara mahkamah syariah dan sivil termasuk isu melibatkan pertukaran agama, harta, tuntutan hadhanah, wasiat dan sebagainya.

Penubuhan Jawatankuasa Khas susulan titah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah supaya satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal mengenai persoalan undang-undang yang berbangkit susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette