Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur melupuskan barang kes bernilai keseluruhan berjumlah RM2.898 juta hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pelupusan barang kes kali ini melibatkan sebanyak 42,408 unit barang kes serta wang tunai berjumlah RM24,106.45 yang akan dilupuskan menggunakan sistem e-sisa dengan khidmat syarikat yang dilantik.

“Kesemua barang kes yang dilupuskan petang ini melibatkan kes siasatan lima daerah iaitu antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Cheras membabitkan 32,981 unit barang kes bernilai RM2.114 juta dan IPD Brickfields 1,660 unit bernilai RM292,600.

“Pelupusan ini juga membabitkan sebanyak 429 kertas siasatan yang telah selesai disiasat dalam tempoh 10 tahun lalu iaitu dari tahun 2010 sehingga 2023,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelupusan Barang Kes JSJ IPK KL di Balai Polis Alam Damai, Cheras hari ini.

Turut hadir, Ketua JSJ IPKKL, Datuk Habibi Majinji dan Ketua-ketua polis mewakili lima daerah di ibu negara.

Antara pecahan barang kes yang dilupuskan melibatkan perjudian seperti barang elektronik, komputer laptop, telefon dan tablet, mesin bitcoin, kes kes kontraban seperti rokok, arak, mercun, barang kes noda seperti kondom berjenama dan sebagainya.

“Kita melupuskan kesemua barang kes ini setelah kes selesai dibicarakan dan dijatuhkan hukuman di mahkamah dan dikeluarkan perintah memusnahkan barang-barang kes ini yang tertakhluk di bawah Seksyen 407 (2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593),” tegasnya.

Allaudeen turut menjelaskan, pelupusan barang kes siasatan polis mengambil masa  lama disebabkan ia tidak boleh dilupuskan sewenang-wenangnya.

“Kita ada proses perundangan yang mana sekiranya sesuatu kes itu didakwa dan dibicarakan di mahkamah majistret atau mahkamah tinggi ia akan melalui proses ke mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan yang memakan masa yang panjang untuk memperoleh keputusan dan penyelesaian.

“Selepas kita dapat perintah memusnahkan barang kes barulah kita akan melupuskan barang-barang kes berkenaan, termasuk wang tunai yang dirampas dalam kes itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette