Keadaan bersih tandas di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menawarkan insentif keseluruhan sebanyak RM120,000 kepada surau dan masjid di Wilayah Persekutuan bagi pengurusan tandas terbaik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, insentif itu disediakan sempena pelancaran Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau Bertaraf Lima Bintang peringkat Wilayah Persekutuan.

Katanya, tiga masjid dan tiga surau terbaik masing-masing akan menerima dana insentif sebanyak RM20,000 bagi tujuan program keilmuan serta pembangunan dan penyelenggaraan.

“Tawaran itu terbuka kepada 92 masjid dan 138 surau Jumaat di bawah pentadbiran Jawi di Wilayah Persekutuan ini.

“Kempen kebersihan ini dianjurkan bersempena sambutan jubli emas 50 tahun Jawi selain memastikan lebih ramai ahli kariah datang untuk menunaikan solat di masjid dan surau,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan kempen itu di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata, pihaknya mengakui masih terdapat tandas di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan yang berada dalam keadaan tidak sempurna.

Katanya, beliau sempat meninjau beberapa masjid dan surau baru-baru dan mendapati ada kemudahan tandas tidak berfungsi dengan baik.

“Ada surau yang saya singgah, empat daripada lima tandas pintunya tidak boleh ditutup dan satu pintu tandas sahaja boleh ditutup.

“Kebersihan tandas yang saya maksudkan bukan sahaja perlu bersih sebaliknya infranya juga perlu berfungsi dengan baik,” tambahnya.

Mengulas mengenai kempen itu, Mohd Na’im berkata, beliau turut meminta supaya insentif itu diberikan kepada masjid dan surau yang terbaik dalam pengurusan tandas setelah dibuat penilaian berkala dalam tempoh enam bulan secara konsisten.

Tambahnya, mudah-mudahan hati masyarakat akan terpaut dengan dengan keindahan masjid bukan setakat pada senibinanya bahkan kepada pengurusan tandas yang benar-benar profesional. – MalaysiaGazette