Toh Puan Na’imah Abdul Khalid

KUALA LUMPUR – Isteri kepada Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Khalid telah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi, di sini, bagi pemulangan pasport beliau secara kekal.

Permohonan itu dilakukan apabila pasport beliau ditahan Mahkamah Sesyen selepas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mengesahkan perkara itu kepada MalaysiaGazette, peguam mewakili Na’imah, Rajesh Nagarajan berkata, pendengaran permohonan akan berlangsung pada Isnin ini.

Pada 23 Januari ini, Na’imah, 67, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua pertuduhan terhadapnya.

Peguam Rajesh Nagarajan

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini; empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Disember 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah ketika itu telah menetapkan ikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Bagaimanapun ketika itu, peguam Na’imah, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin membantah penyerahan pasport kepada mahkamah atas alasan anak guamnya bukan seorang flight risk.

“Na’imah bukanlah terbabit dengan sebarang kes jenayah yang menjadikannya flight risk dan beliau tinggal (kediamannya) di belakang mahkamah ini sahaja. Beliau tidak akan ke mana-mana dan dia berada di sini untuk melawan kes ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette