KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mewujudkan jawatankuasa teknikal untuk melihat beberapa isu bagi memastikan syarikat sektor komoditi negara akan dapat menjalankan perniagaan mereka serta mengeksport tanpa ada sebarang halangan daripada negara luar.
Menterinya, Datuk Johari Abdul Ghani yang mengadakan perbincangan semalam berkata, komitmen kerajaan di peringkat Kerajaan Persekutuan bagi memenuhi peraturan-peraturan dari segi penebangan hutan, kebolehkesanan dan geolokasi.
Langkah ini, katanya, bagi memastikan produk-produk komoditi Malaysia yang dieksport ke luar negara tidak terjejas akibat daripada regulasi ‘European Union Deforestation Regulation’ (EUDR) atau dikenali sebagai Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan-Kesatuan Eropah (EUDR).
Jelasnya, regulasi EUDR ini boleh memberi implikasi dan menjejaskan produk serta sektor komoditi Malaysia untuk dieskport jika tidak mematuhinya.
Untuk makluman, nilai eksport bagi sektor komoditi Malaysia mencecah lebih RM160 bilion setahun dan agrikomoditi ini menyumbang sebanyak 5.2% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar serta mempunyai lebih 1 juta peluang pekerjaan.
Menurut Johari, Malaysia juga berpotensi mendapat persepsi negatif di peringkat global sekiranya tidak melibatkan diri secara langsung di dalam menangani isu-isu hutan dan kelestarian alam ini. – MalaysiaGazette