Antara hidangan yang diperkenalkan oleh Mardhiyyah Hotel &; Suites, ketika Majlis Destinasi Rasa Ramadan Bufet. Foto SYADILA AMARI, 15 FEBRUARI 2024.

SHAH ALAM – Mardhiyyah Hotel & Suites di sini menawarkan lebih 50 pilihan hidangan tradisional Melayu asli dan antarabangsa sebagai juadah berbuka puasa pada tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohamad Rafik Mohd Idrus berkata, dengan bertemakan Destinasi Rasa, Bufet Ramadan kali ini menyediakan hidangan istimewa.

“Bufet Ramadan kali ini kami menyediakan hidangan istimewa seperti Smoke Hickory Roasted Whole Lamb, Tulang Merah Singapore Roti Paun, Bubur Lambuk Daging Rusa dan Gulai Lemak Padang Urat Keting.

“Daripada pembuka selera hingga hidangan pencuci mulut, tetamu juga boleh menikmati pelbagai hidangan antarabangsa dan tradisi Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Pelbagai hidangan bakal disediakan pada Ramadan Bufet oleh Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 15 FEBRUARI 2024.

Menurutnya, Bufet Ramadan Mardhiyyah Hotel & Suites bakal dibuka bermula 13 Mac hingga 8 April ini pada harga RM165 seorang.

“Manakala untuk warga emas dan kanak-kanak pula masing-masing pada harga RM120 (60 tahun ke atas) dan RM100 bersih (5 hingga 11 tahun).

“Bagi mereka yang berhasrat untuk merancang iftar secara berkumpulan, Mardhiyyali Hotel & Suites juga menyediakan Bufet Private Function dengan harga RM120 seorang,” katanya.

Katanya, Mardhiyyah juga menyediakan Bufet Ramadan pada harga istimewa kepada orang ramai yang menempah awal.

“Dapatkan segera harga Early Bird terhad pada RM135 untuk dewasa, bermula dari 3 Januari 2024 hingga 29 Februari 2024,” katanya.

Mohamed Rafik Idris

Katanya, tetamu hotel itu juga boleh menunaikan solat Maghrib, Isyak, Tarawih dan Subuh secara berjemaah yang dipimpin imam jemputan daripada Maahad Tahfiz di surau al-Latifah, hotel berkenaan.

Selain itu, katanya Mardhiyyah Hotel & Suites merupakan sebuah hotel yang patuh Syariah dan bercirikan mesra Muslim.

“Mardhiyyah Hotel yang terletak di tengah pusat bandar Shah Alam, bersebelahan dengan Masjid Negeri dan juga ia bercirikan Muslim Friendly.

“Mardhiyyah Hotel juga diiktiraf sebagai Pusat Pelancongan Islam (ITC) menerusi program Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim ITC serta Pengiktirafan (MFAR) berstatus Platinum,” katanya.

Aneka kek yang dihidangkan pada Majlis Ramadan Bufet, Ramadan Food Review di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 15 FEBRUARI 2024.

Mohamad Rafik turut berharap Mardhiyyah menjadi contoh kepada hotel-hotel lain dari segi ciri-ciri mesra Muslim.

“Mardhiyyah lebih bercirikan mesra Muslim, keadaan baik untuk Muslim, makanan halal, bersih dan menyediakan prasarana bertepatan dengan tuntutan Islam.

“Saya berharap Mardhiyyah menjadi pemacu untuk primemover dalam industri hotel mesra Muslim,” katanya.

Pencuci mulut dari Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam

Sepanjang Ramadan ini, Mardhiyyah, turut menyediakan program persediaan awal sebelum berbuka puasa seperti Tadabbur al-Quran dan tazkirah.

“Ada juga tazkirah di antara lapan rakaat solat Tarawih dengan tazkirah, diketuai oleh Imam tahfiz yang kita pilih secara bergilir-gilir.

“Kita juga membacakan 30 juzuk al-Quran dalam solat Tarawih sepanjang bulan puasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast