Fadzli bersama peman sukan golf ketika membuat tinjauan di Padang Golf Raub semalam.

KUANTAN – Akademi Golf Pahang Barat akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi mendedahkan sukan golf kepada anak muda di sekitar Bentong, Lipis, dan Cameron Highlands.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri berhasrat menjadikan padang golf Raub sebagai lapangan dan pusat latihan kepada peminat sukan itu.

”Kerajaan Negeri Pahang akan menubuhkan Akademi Golf Pahang Barat di Raub dengan menjadikan mereka yang berminat untuk maju dalam sukan golf.

“Pelajar sekolah dan remaja yang berusia 5 hingga 21 tahun dari Pahang Barat khususnya daerah Raub, Bentong, Lipis dan Cameron Highlands adalah digalakkan mendaftar untuk menyertai program di bawah kelolaan Majlis Sukan Pahang ini,” katanya.

Melalui program itu, para peserta akan diberikan bimbingan oleh jurulatih mengenai Kursus Asas Golf, Peraturan & Etika Pemainan sebelum dibenarkan berlatih di padang.

Selain itu, Akademi Golf ini juga memberikan latihan dalam cabang lain meliputi kursus caddy dan penyelenggaraan padang.

”Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan pemain golf profesional,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, padang golf Raub ini dikenali sebagai AgroGolf atau ‘Golf dalam Kebun’ kerana keunikan dikelilingi pokok buah-buahan khususnya durian Musang King dan Black Thorn, manggis, mangga dan nangka.

Dalam pada itu, Fazli memberitahu syarikat Galaxy AeroSpace turut bersetuju menyumbang peralatan untuk pelajar dan remaja yang terpilih menyertai Akademi Golf ini. – MalaysiaGazette