Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis melumpuhkan satu sindiket penipuan antarabangsa yang menawarkan pelaburan atas talian dengan mensasarkan warga Eropah dengan tertangkapnya 50 individu warga asing dan tempatan negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek itu diberkas di sebuah bangunan pejabat di Jalan Bukit Bintang dalam serbuan pada 6 Februari lalu.

“Dua daripadanya merupakan  warga Malaysia dan 48 lagi adalah warga asing termasuk 31 lelaki dan 18 wanita berusia antara 20 hingga 41 tahun.

“Sindiket ini dipercayai terlibat dengan penipuan pelaburan forex yang menyasarkan warga Perancis, Ukraine, United Kingdom dan Switzerland,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ, Jalan Tun Razak hari ini.

Suspek-suspek warga asing itu terdiri daripada 11 rakyat Guinea; lapan Algeria, masing-masing empat dari Togo dan Ukraine serta tiga dari Maghribi dan Mauritius.

Manakala dua warga Cameroon, Congo dan Tunisia manakala masing-masing seorang dari Armenia, Senegal, Haiti, Djibouti, Madagascar dan Chad serta Ivory Coste.

Tambah beliau, sindiket ini telah beroperasi sejak enam bulan yang lalu di ibu negara dan memerangkap mangsa dengan menghantar pesanan ringkas secara rawak melalui telegram dan laman web RIACAPITAL.

Menurut Ramli, medium itu mengandungi pautan iklan pelaburan dalam talian kepada rakyat sasaran mereka menggunakan Aplikasi Zopier dan Link CRM.

“Setelah mangsa menyatakan berminat dengan tawaran pelaburan itu, mereka akan diajar oleh sindiket untuk melabur dalam skim pelaburan tersebut.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan dan percaya dua warga Malaysia yang ditahan itu berperanan sebagai fasilitator yang menggerakkan sindiket dengan menyediakan kemudahan dan segala kelengkapan barang untuk beroperasi.

Manakala warga asing yang ditahan itu memiliki pas lawatan yang telah tamat tempoh selain menyalahgunakan pas pelajar ke negara ini dengan terlibat dalam kegiatan penipuan tersebut.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan 511 Kanun Keseksaan kerana membuat penipuan.

Dua warga Malaysia dalam kes ini telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat pada 10 Februari lalu.

Seorang wanita warga asing turut dibebaskan dengan jaminan polis pada 8 Februari lalu kerana mengandung.

Sementara suspek lain masih direman di bawah Akta Imigresen 1959/63  sehingga 23 dan 24 Februari ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast