Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dijadualkan akan menemui para pemain industri padi dan beras negara esok.

Pertemuan itu dijadual berlangsung jam 10 pagi esok di Putrajaya.

MalaysiaGazette difahamkan notis jemputan telah diserahkan kepada pemegang taruh dalam industri ini semalam.

Sumber berkata, mesyuarat esok akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood.

“Mesyuarat ini nanti akan merungkai persoalan para pemain industri padi dan beras berhubung pengenalan Beras Putih Malaysia Madani yang diumumkan oleh Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal baru-baru ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Baru-baru ini, Syed Abu Hussin berkata, kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit berkuat kuasa 19 Februari dan dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac.

Dengan pengenalan beras itu, Syed Abu Hussin Hafiz yang mengetuai Task Force (Kluster Makanan) NACCOL berkata, tiada lagi kategori Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI) melainkan Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast