Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kualiti perkhidmatan telefon mudah alih di negara ini didakwa semakin merosot dan mengecewakan walaupun kerajaan memperkenalkan rangkaian telekomunikasi 5G di seluruh negara.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) berkata, kualiti perkhidmatan telefon mudah alih pada hari ini tidak selari dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, kualiti panggilan semakin hari semakin merudum dan pengguna sering berhadapan dengan situasi ‘drop calls’ dengan ketara, selain kualiti panggilan juga tidak memuaskan, dan bertentangan dengan janji kualiti produk oleh syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia.

Menurutnya, walaupun Kementerian Digital, entiti yang diwujudkan di bawah rombakan Kabinet mengenai isu kualiti liputan perkhidmatan telekomunikasi selular pada Disember lalu tetapi ni belum ada solusi dan noktah.

Kata beliau, kerajaan tidak boleh hanya mengatakan kajian sedang dan akan dijalankan untuk mencari penyelesaian.

“Sudah tiba masanya bagi kerajaan mengambil tindakan proaktif dan konstruktif secara menyeluruh bagi menangani isu kritikal ini dengan segera. UNI-MLC pasti Kementerian Digital mempunyai jawapan kepada keadaan yang mengecewakan jutaan pengguna.

“Bagi pihak jutaan pengguna perkhidmatan telekomunikasi mudah alih, UNI-MLC mahu Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi mengambil tindakan bagi mencari solusi segera dalam mengembalikan liputan yang berkualiti dan dinamik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas beliau lagi, isu yang dihadapi sekarang bukan sahaja mengecewakan para pengguna, malah memberi gambaran negatif ke atas negara Malaysia yang ingin kembali gemilang dalam pelbagai bidang terutamanya sektor pelaburan dan pelancongan.

“Isu ini sudah berlarutan lebih dari empat tahun dan akhir-akhir ini UNI-MLC telah menerima ratusan aduan daripada ahli Kesatuan Gabungan mengenai isu liputan perkhidmatan ini.

“Pengguna mendesak kerajaan agar segera melakukan sesuatu bagi memulihkan keyakinan para pengguna terhadap setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pengguna di samping mengharapkan penambahbaikan kualiti perkhidmatan di sektor telekomunikasi dan multimedia khususnya.

“Sebagai pasaran global yang menuju ke arah AI dan e-dagang, usaha kerajaan dalam aspek pendigitalan mencerminkan keutamaan dan fokus kerajaan ke arah kepuasan pengguna sekaligus memperkasakan ekonomi negara,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kualiti selular hp merosot teruk harap pengguna bersabar. Berikan pihak syarikat masa dalam tujuh lapan bulan “mencari formula” . Sekiranya gagal rakyat perlu minta pandangan kerajaan PMX untuk “memberi formula” dalam tiga empat bulan untuk berbincang dengan pengendali selular. Jika masih tidak berfungsi harap pengguna memberi idea supaya kerajaan PMX membuat “kajiannya” dalam tempoh setahun dua mencari “punca” atau masih tidak menemui jalan maka syorkan kepada kerajaan PMX melantik perunding pakar luar negara sehingga berjaya.
    Disini rakyat akan nampak kerajaan berusaha keras menyelesaikan masalah rakyat. Dimana kerajaan akan diberi kredit atas kepintarannya. Pasti selesai masalah

Comments are closed.