Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama kakitangan Maybank ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra bersama Warga Maybank di Menara Maybank, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menafikan cadangan Beras Putih Malaysia Madani akan mewujudkan campur tangan kartel.

Malah ia boleh menyekat terus campur tangan kartel beras berkenaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga menafikan dakwaan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh sekiranya cadangan itu diwujudkan maka beras putih tempatan tidak akan ada di pasaran.

“Tidak (dakwaan akan wujud campur tangan kartel), ini (cadangan Beras Madani) boleh sekat campur tangan kartel (beras),” katanya kepada media selepas melancarkan program Memperkasakan PKS, myimpact SME Hub di Menara Maybank hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Kumpulan Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

Anwar sebelum itu diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Akmal yang berkata, sekiranya Beras Putih Malaysia Madani  diwujudkan, pihaknya yakin beras putih tempatan tidak akan ada di pasaran.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkata, beras putih tempatan pada masa ini sukar untuk didapati di pasaran negara.

“Seharusnya kita perlu terus menentang kartel yang mencampurkan beras tempatan dengan beras import bukan menyokong apa yang mereka buat.

“Jika wujudnya Beras Madani ini, saya yakin tidak akan ada langsung beras putih tempatan di pasaran. Sedangkan yang sekarang ini pun isu beras putih tempatan begitu susah untuk kita dapat,” kata Dr Akmal.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, kerajaan belum membuat apa-apa keputusan mengenai cadangan mewujudkan Beras Malaysia Madani seperti mana yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

“Ia (cadangan Beras Malaysia Madani) akan dibincangkan dalam NACCOL dan belum ada keputusan,” katanya lagi.

Sebelum ini Syed Abu Hussin mengumumkan kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Syed Abu Hussin dilaporkan berkata, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih itu pada kadar RM30 bagi kampit 10kg manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast