Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah hadir bagi pendengaran permohonan pulang balik pasport secara kekal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 19 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Hujah permohonan untuk mendapatkan pasport secara kekal milik Toh Puan Na’imah Abdul Khalid akan didengar pada 13 Mac depan.

Mahkamah juga menetapkan hujah bertulis Na’imah, selain jawapan balas oleh pendakwaan pada 4 Mac.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache juga memutuskan hujahan balas kedua-dua pihak pada 11 Mac.

Hakim juga difahamkan akan memberi keputusannya pada 13 Mac.

Jumaat lepas, Na’imah, yang juga isteri Tun Daim Zainuddin, telah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi di sini bagi mendapatkan semula pasportnya secara kekal.

Pasport beliau ketika ini ditahan Mahkamah Sesyen di sini selepas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Na’imah, 67, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua pertuduhan terhadapnya pada 23 Januari lepas.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini; empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Disember 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah ketika itu telah menetapkan ikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Bagaimanapun ketika itu, peguam Na’imah, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin membantah penyerahan pasport kepada mahkamah atas alasan anak guamnya bukanlah seorang flight risk.

“Na’imah bukanlah terbabit dengan sebarang kes jenayah yang menjadikannya flight risk dan beliau tinggal (kediamannya) di belakang mahkamah ini sahaja. Beliau tidak akan ke mana-mana dan dia berada di sini untuk melawan kes ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette