FB Jabatan Bomba dan Penyelemat Terengganu

KUALA TERENGGANU – Selepas pencarian selama 30 jam, seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Pantai Batu Buruk semalam, akhirnya ditemukan lemas berhampiran Pulau Gemia, Marang petang ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Terengganu Muhammad Basri Kamarazaman berkata mayat Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, ditemukan terapung oleh nelayan pada 4 petang tadi, 16 kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa naik oleh anggota bomba ke Jeti Marang kira-kira 5.15 petang.

“Kita menerima laporan orang awam yang memaklumkan penemuan mayat seorang lelaki berseluar pendek hitam, terapung di kawasan berhampiran Pulau Gemia.

“Pasukan bomba, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tiba di lokasi penemuan pada 4.34 petang dan mayat mangsa terus dibawa ke Jeti Marang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Muhammad Basri berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada 6.30 petang tadi, selepas proses pengecaman dilakukan oleh isteri mangsa Nora Elina Abdul Khalit, 44.

Terdahulu Zulkarnain dilaporkan hilang dipercayai dibawa arus ombak ketika beriadah bersama isteri dan dua anak perempuannya, di Pantai Batu Buruk, pagi semalam. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast