Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) yang dikenali sebagai perubatan tradisional dan komplementari (TCM) tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan seperti diwartakan sebelum ini.

Ia susulan keputusan Kementerian Kewangan agar perkhidmatan disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K berdaftar dengan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai berkuatkuasa mulai 1 Mac 2024.

“Maklum balas ini juga telah mengambil kira perbincangan daripada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri PT&K,” kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurut beliau, pengecualian cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan PTK ini adalah salah satu usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang ditekankan dalam konsep Malaysia Madani dan diterapkan dalam kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.

“Keputusan yang dipersetujui oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ini adalah langkah untuk meningkatkan kesihatan diri keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

“Pada masa yang sama, Kerangka Ekonomi Madani juga akan giat memperkasakan sektor PMKS yang menggajikan hampir separuh tenaga kerja di Malaysia.

“Kerajaan akur jauh lagi landasan untuk melebarkan sayap PMKS tempatan ke persada antarabangsa. Maka, pengusaha-pengusaha tersebut memerlukan kebergantungan permintaan domestik untuk kemandirian perniagaan mereka buat masa ini, lebih-lebih lagi bagi PMKS yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.

Dengan keputusan tersebut, pengamal PT&K yang telah berdaftar dengan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] tidak perlu berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Malah, kata beliau, ia juga tidak dikenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan seperti Perubatan Tradisional Melayu; Perubatan Tradisional Cina; Perubatan Tradisional India; Homeopati; Kiropraktik; Osteopati dan amalan Pengubatan Islam.

Tambahnya, Kementerian Kewangan bersetuju supaya keputusan tersebut terpakai ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat seumpamanya dikendalikan oleh pengamal PT&K berdaftar dengan Akta 775 bagi perkhidmatan di atas untuk tempoh sebelum 1 Mac 2024. – MalaysiaGazette