KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menggesa agar industri perbankan di negara ini untuk terus kekal berdaya saing.
Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, industri perbankan perlu menjauhi tiga fenomena C iaitu Complexity (kerumitan), Chaos (kehuru-haraan) and Contradictions (percanggahan).
“Bank-bank perlu menggalas tanggungjawab untuk bersama kerajaan menjayakan reformasi ekonomi yang diketengahkan dalam Ekonomi Madani.
“Kerangka ini berhasrat untuk membawa transformasi ekonomi dengan menjulang nilai ekonomi dalam rantaian bekalan dunia serta menambah baik kemampanan ekonomi negara,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan program Memperkasakan PKS, ‘myimpact SME Hub’ di Menara Maybank hari ini.
Turut hadir adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan Pengerusi Kumpulan Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.
Tambah Anwar lagi, industri perbankan juga perlu mempunyai kudrat tinggi untuk kekal berdaya tahan dengan fenomena tiga C itu. – MalaysiaGazette