PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia melakukan siasatan terhadap dakwaan wujud kartel dalam industri padi dan beras di dalam negara ini.
Menterinya Datuk Amizan Mohd Ali berkata, pihaknya terbuka untuk menyiasat perkara itu sekiranya ada maklumat yang menyokong dakwaan tersebut.
“Sejak berkuatkuasa Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, bidang kuasa kawal selia padi dan beras berada di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Ada isu disebut tentang aktiviti kartel beras..KPDN terbuka dan MYCC bersedia melakukan siasatan sekiranya KPKM atau mana-mana pihak lain bersedia menyalurkan maklumat serta bukti mengenai aktiviti kartel dalam industri beras dan padi,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Libat Urus ‘Prakarsa Pendayaupayaan Pengguna sebagai agenda memperkukuhkan kepengunaan di Malaysia tengah hari tadi.
Dalam perkara sama, beliau juga menegaskan, adalah wajar isu beras itu dijawab oleh KPKM sendiri memandangkan ia merupakan bidang kuasa kementerian itu.
“Abang Mat (Mohamad Sabu) menteri KPKM yang sebenarnya bertanggungjawab dan kawal selia padi dan beras berada di bawah bidang kuasanya, maka saya fikirkan adalah lebih wajar abang Mat yang menjawab soal beras dan padi ini,’ katanya lagi.
Semalam Perdana Menteri memberitahu cadangan melaksanakan Beras Putih Malaysia Madani mampu mengekang industri beras negara dari kawalan pihak kartel.
Katanya sehingga kini kerajaan masih belum memutuskan pelaksanaannya sebaliknya pelaksanaan Beras Putih Malaysia Madani akan diteliti dan dibincangkan terlebih dahulu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
“(Beras Putih Madani) bukan (sokong kartel), ini boleh sekat campur tangan kartel (beras) dan belum ada keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette