Annuar Menara KL
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pemergian Tun Abdul Taib Mahmud sebagai kehilangan seorang sahabat sangat rapat yang dikenali sejak 40 tahun lalu.

Malah, kematian bekas Abdul Taib itu sebagai satu kehilangan besar kepada negara kerana Allahyarham merupakan seorang negarawan yang begitu lama berkhidmat di Sarawak.

“Kebetulan keluarga beliau rapat dengan saya, saya selalu kunjungi keluarganya, bulan lepas tahlil diadakan, jadi terasa juga kehilangan (Abdul Taib),” katanya ketika ditemui selepas beliau menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid Negara di sini, hari ini.

Annuar berkata, Malaysia khususnya Sarawak telah kehilangan seorang pejuang di mana Allahyarham nmerupakan seorang arkitek pembangunan pemodenan Sarawak serta seorang yang komited mahu melihat negeri itu sebahagian daripada Malaysia yang maju.

Katanya, sepanjang hayat Allahyarham sering bercakap mengenai langkah-langkah yang difikirkan untuk memajukan Sarawak.

“Walaupun perkhidmatan cemerlang sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, Malaysia kehilangan seorang pemimpin yang diterima rakyat pelbagai kaum, berjaya satukan Sarawak, memiliki visi untuk bawa kemajuan dan pembangunan kepada Sarawak.

“Takziah kepada keluarga dan kerajaan negeri Sarawak,” ujarnya.

Menceritakan lanjut Annuar berkata, baru dua bulan lepas beliau ada bertemu dengan Allahyarham untuk bertanya khabar kepadanya.

Bagaimanapun katanya, Allahyarham kemudian telah mengajak dan membawanya menaiki kenderaan buggy untuk menziarahi kubur isterinya Tun Laila Taib dan kubur adiknya Arif Mahmud.

“Saya tak tahu pun dia (Abdul Taib) tiba-tiba nak bawa saya pergi ke kubur ahli keluarganya itu,” katanya. – MalaysiaGazette