Isteri bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Toh Puan Raghad Kurdi Taib kelihatan sedih ketika di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 21 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Raghad Kurdi Taib meluahkan kesedihan atas pemergian suaminya, Tun Abdul Taib Mahmud.

Menerusi Instagram Raghad berkata, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa pentingnya Allahyarham di sisinya.

“Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa pentingnya beliau (Abdul Taib) bagi saya.

“Semoga rohmu diberkati dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh…Al-Fatihah,” ciapnya di laman sosial itu, hari ini.

Raghad berkahwin dengan Abdul Taib pada 2010 ketika berusia 29 tahun.

Raghad Kurdi Taib tidak dapat menahan sedih sejurus selepas solat jenazahAllahyarham Abdul Taib Mahmud di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 21 FEBRUARI 2024.

Allahyarham Abdul Taib yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak menghembuskan nafas terakhir pukul 4.40 pagi tadi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Masjid Negara untuk dimandi dan dikafan serta disembahyangkan sebelum ditempatkan di Biik Syarahan Utama untuk penghormatan terakhir daripada orang ramai.

Sejurus selepas itu Jenazah Allahyarham dibawa ke Pangkalan Udara TUDM Subang untuk diterbangkan balik ke Sarawak.

Jenazah ditempatkan di kediamannya di Demak Jaya dan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pukul 8 pagi esok untuk penghormatan terakhir hingga pukul 11.30 pagi.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya, petang esok. – MalaysiaGazette