Romel Morales. Foto Facebook JDT.

KUALA LUMPUR – Pemain naturalisasi negara, Romel Morales sah menyertai penyandang juara Liga Super, Johor Southern Tigers (JDT0 bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Kehadiran pemain Harimau Malaya itu diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial rasmi dimana mereka memuat naik video bekas pemain PKNS FC dan Melaka United itu sedang memasak.

Dalam video tersebut, Morales sedang membuat satu hidangan yang menggunakan lada berwarna merah dan kuning sebelum dibuang dalam tong sampah.

Video yang dimuat naik mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air dimana ramai yang beranggapan video itu ditujukan kepada seteru utama mereka iaitu Selangor.

Penyerang kelahiran Colombia itu menjadi pemain kelima yang menyertai JDT bagi menghadapi saingan musim ini selepas Jalil Elias, Francisco Geraldea, Murilo dan Nicolao Dumitru.

Pemain yang mampu beraksi di beberapa posisi di bahagian serangan itu turut membantu Kl City mara ke perlawanan akhir Piala AFC pada 2022 di mana mereka tewas kepada kelab Oman, Al-Seeb.

Pemain berusia 26 tahun itu membuat penampilan bersama skuad kebangsaan di temasya Piala Asia 2023 baru-baru ini dimana dia meledak gol penyamaan Harimau Malaya ketika mengikat Korea Selatan dengan keputusan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E.

Kehadiran Morales bakal menambah sengat di bahagian serangan JDT di mana dia bakal bersaing dengan pemain lain seperti Bergson Da Silva, Fernando Forestieri, Heberty dan Nicolao. – MalaysiaGazette