GEORGE TOWN – Tiada asas bagi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan satu pasangan tidak mandi selama tiga hari di sebuah hotel di negeri ini susulan kualiti air paip di bilik mereka kotor seperti dalam video tular.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K. Pathmanathan berkata, ia susulan video berkenaan dimuat naik pada Mei tahun lalu selain tiada maklumat mengenai lokasi dan hotel yang dimaksudkan pengadu berkenaan.

Jelas beliau, pihaknya juga mendapati tidak ada sebarang laporan direkodkan daripada hotel mengenai masalah kualiti air bagi tempoh berkenaan.

“Video itu disiarkan kira-kira sembilan bulan lalu dan PBAPP tidak merekodkan sebarang laporan daripada hotel mengenai masalah kualiti air sepanjang Mei atau Jun.

“PBAPP juga tiada maklumat hotel terbabit seperti yang diadukan dan tiada maklumat lokasi hotel mengikut daerah atau kawasan.

“Selain itu, pelancong tidak didaftarkan sebagai pengguna air dalam pangkalan data PBAPP namun hotel tempat mereka menginap adalah pengguna air berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Pathmanathan, tanpa siasatan, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada ‘air paip kotor’ seperti yang didakwa diakibatkan oleh PBAPP atau sistem retikulasi dalaman hotel seperti paip, tangki air atau sistem penapisan air.

“PBAPP bertanggungjawab ke atas kualiti air sehingga ‘kedudukan meter’ bagi mana-mana premis yang dimiliki atau disewa oleh pengguna air.

“Kedudukan meter merujuk kepada lokasi meter air PBAPP yang dipasang bagi merekod penggunaannya di premis persendirian dan di situlah pembaca meter PBAPP merekodkan bacaan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Pathmanathan, semua sistem paip yang menyalurkan bekalan air ke dalam premis selepas kedudukan meter adalah sistem retikulasi dalaman manakala paip dalaman, pam, tangki air dan penapis premis persendirian adalah kepunyaan pemilik atau penghuni premis.

“Berikutan itu, tanggungjawab penyelenggaraan sistem retikulasi dalaman dengan betul terletak pada pemilik atau penghuni dan bukan PBAPP.

“PBAPP tidak bertanggungjawab terhadap isu bekalan air berlaku akibat sistem retikulasi dalaman yang tidak diselenggara dengan baik termasuk kebocoran, air kotor, tiada air atau tekanan air rendah.

Terdahulu, tular satu video memaparkan pasangan pelancong asing mendakwa tidak mandi selama tiga hari berikutan air paip di sebuah hotel yang diduduki berwarna kekuningan. – MalaysiaGazette