KUALA LUMPUR – Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia (RAM) menegaskan pihaknya tiada sebarang hubungan dengan Mawla Mohamed Amin.
Pengerusi RAM, Datuk Syed Hood Syed Edros al-Aydrus menjelaskan, pertubuhan itu tidak pernah terbabit di dalam menjemput, menganjur dan melaksanakan apa juga bentuk aktiviti atau program dijalankan individu terbabit atau orang dikaitkan dengannya.
Katanya, sebagai pendukung utama dakwah habaib di negara ini, RAM tidak sewenang-wenangnya menjalankan aktiviti dengan mana-mana pihak tanpa membuat semakan teliti terhadap individu terbabit serta mendapat kebenaran agensi berkaitan.
“Pertubuhan ini tidak pernah terbabit atau menggalakkan, mendukung serta menyokong apa-apa usaha dijalankan mana-mana pihak atau individu membuat kutipan, pungutan derma dan apa saja permohonan sumbangan dikaitkan dengan habaib kecuali mendapat kebenaran pihak berwajib.
“Kami (RAM) ada hubungan rapat dengan Rabithah Alawiyah Indonesia (RAI) dan juga Darul Mustafa, Tareem, Yaman, menegaskan kami tidak melaksanakan apa juga aktiviti kecuali benar tepat dan sesuai dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta perundangan negara.
“Jabatan Hal Ehwal Nasab RAM tidak pernah menerima apa-apa permohonan perakuan nasab daripada individu terbabit (Mawla Mohamed Amin) dan jabatan ini tidak pernah terbabit dalam memperakukan apa-apa nasab keturunan individu berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, Syed Hood menyeru sebarang program yang menjemput habaib daripada luar negara untuk berbincang dan mendapatkan pandangan daripada RAM supaya tidak membawa fitnah. – MalaysiaGazette