Nik Nazmi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1 Tahun 2024 di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), semalam.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil beberapa langkah dalam menghadapi perubahan cuaca panas dan kering serta fenomena El Nino susulan fasa terakhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, antara perkara yang dipersetujui untuk dilakukan adalah kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan kualiti udara negara.

Katanya, maklumat itu boleh dicapai melalui aplikasi myCuaca dan laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, aplikasi MyIPU dan portal APIMS Jabatan Alam Sekitar.

“Kementerian, jabatan dan agensi berkaitan akan mengambil tindakan sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan berdasarkan Tahap Amaran dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU).

“Jabatan dan agensi terlibat perlu sentiasa bersedia melaksanakan pemadaman kebakaran berskala besar secara serta-merta dan Operasi Pembenihan Awan sekiranya diperlukan tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai.

“NRES dengan kerjasama kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan whole of government approach bagi membanteras kebakaran tapak pelupusan sampah haram serta menambahbaik tindakan pencegahan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut yang menyebabkan jerebu tempatan, menjejaskan kualiti udara negara serta kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Nik Nazmi berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1 Tahun 2024 di kementeriannya semalam.

Mesyuarat dwi-tahunan itu diadakan bagi melaporkan status terkini keadaan cuaca dan kualiti udara selain menjadi platform bagi merancang tindakan dan strategi pencegahan pembakaran terbuka dan jerebu tempatan di samping mengatur persediaan menghadapi kemungkinan berlaku insiden jerebu
merentas sempadan.

Katanya, kerajaan akan memperkemas strategi, mengukuhkan kerjasama pelbagai hala peringkat ASEAN melalui penglibatan aktif dalam siri mesyuarat di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Merentas Sempadan pada Jun dan Oktober tahun ini.

NRES juga akan meneroka peluang mewujudkan kerjasama dua hala bersama negara jiran bagi menangani isu jerebu merentas sempadan.

“NRES sedang meneliti mekanisme terbaik yang merangkumi langkah-langkah jangka masa pendek dan jangka masa panjang serta keperluan penggubalan instrumen perundangan bagi menangani masalah jerebu merentas sempadan secara efektif dan holistik.

“Perkara ini akan dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keberkesanan dan kebolehlaksanaannya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, fenomena El Niño dengan intensiti kuat sedang melanda dunia dijangka akan menyebabkan suhu maksimum harian negara lebih tinggi dan cuaca lebih panas serta kering berbanding biasa.

Fenomena ini, katanya, dijangka berlarutan sehingga suku tahun kedua tahun ini dan peralihan El Niño Southern Oscillation (ENSO) kepada neutral dijangka berlaku sekitar April hingga Jun 2024.

Monsun Barat Daya pula akan bermula pada Mei sehingga September 2024 dan negara dijangka menerima hujan pada paras purata di kebanyakan tempat, katanya.

“Berdasarkan rekod bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Februari 2024, terdapat 1,043 aduan kes pembakaran terbuka dan pembakaran sampah sarap merupakan aduan tertinggi melibatkan 715 kes.

“Baru-baru ini, terdapat dua kes kebakaran berskala besar melibatkan kawasan hutan simpan di Daerah Kuala Penyu, Sabah dan kawasan ladang di Chuping, Perlis. Kebakaran ini telah berjaya dipadamkan sepenuhnya dan semua jabatan, agensi dan kerajaan negeri terlibat telah diminta untuk mempertingkatkan tindakan pencegahan kebakaran untuk mengelak kejadian seumpama berulang.

“Jabatan Alam Sekitar juga telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 79 arahan di lapangan (field citation), lima kompaun, 12 notis arahan dan 666 pemantauan berkaitan pembakaran terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, susulan cuaca panas dan kering ketika ini, semua pihak diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan tidak membiarkan tanah atau premis
diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah.

Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan, tegasnya. – Mala

ysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast