KUALA LUMPUR – Kadar inflasi keseluruhan Malaysia kekal pada 1.5 peratus dalam Januari 2024 dengan mata Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatat 131.4 berbanding 129.5 bagi tempoh setahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ,ini disumbangkan oleh peningkatan perlahan segmen restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus).
Faktor penyumbang lain adalah kesihatan (2.4 peratus); makanan dan minuman (2.0 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.0 peratus).
“Bagaimanapun, kumpulan pengangkutan mencatat peningkatan inflasi yang rendah (0.7 peratus) berbanding Disember 2023 (0.3 peratus),” katanya dalam kenyataan media IHP bagi Januari 2024 yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, inflasi keseluruhan secara bulanan terus menunjukkan kenaikan 0.2 peratus dengan kumpulan yang mencatat peningkatan secara bulanan seperti perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.4 peratus); makanan dan minuman (0.3 peratus) dan kesihatan (0.2 peratus).
Inflasi teras meningkat lebih perlahan kepada 1.8 peratus berbanding Disember 2023 yang mencatat 1.9 peratus dan masih melepasi inflasi keseluruhan (1.5 peratus).
“Ini didorong oleh kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan selain makanan dan minuman yang masing-masing mencatat 3.2 peratus dan 2.9 peratus pada Januari 2024.”
Menurut DOSM, berbanding negara-negara terpilih lain, inflasi di Malaysia (1.5 peratus) adalah lebih rendah berbanding Amerika Syarikat (3.1 peratus), Filipina (2.8 peratus), Korea Selatan (2.8 peratus), Zon Eropah (2.8 peratus) dan Indonesia (2.6 peratus).
“Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (-1.1 peratus) dan China (-0.8 peratus),” katanya. – BERNAMA