Allahyarham zyan Rayyan

PETALING JAYA – Sehingga kini tiada perkembangan terbaharu siasatan kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, meskipun tawaran ganjaran dibuat namun tidak ada individu yang tampil kepada pihaknya.

“Tiada perkembangan. Walaupun ada tawaran ganjaran bagi siapa yang boleh beri maklumat tapi sehingga sekarang pihak polis tidak menerima atau tiada siapa-siapa tampil,” katanya ketika sidang media selepas  Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.

Namun pihak polis akan terus  menjalankan siasatan, kata Hussein.

“Kita tidak akan putus asa kita teruskan siasatan kita ada pasukan yang sentiasa bekerja dalam kes ini,” tegasnya.

Baru-baru ini, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada sesiapa sahaja yang menyalurkan maklumat berkenaan pembunuhan kanak-kanak berusia enam tahun tersebut.

Zayn pada 5 Disember lalu dilaporkan hilang di Damansara Damai  sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan harinya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MCPF Selangor tawar RM20,000 bantu tangkap pembunuh Zayn