Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.

SHAH ALAM – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor menawarkan ganjaran wang berjumlah RM20,000 kepada mana-mana pihak yang membantu polis sehingga tertangkapnya pembunuh Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Timbalan pengerusinya, Datuk Seri Thaiveegan Arumugam berkata, tawaran itu dipersetujui sendiri Pengerusi MCPF Selangor, Tan Sri Jeffry Cheah.

“Zayn Rayyan didapati telah dibunuh. MCPF Selangor bersedia menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000.

“Tawaran ini kepada sesiapa yang boleh membantu memberi maklumat kepada Polis Selangor menangkap suspek-suspek dan berjaya dituduh.

“Maka MCPF Selangor akan memberi tawaran RM20,000 melalui PDRM Selangor,” katanya pada sidang media bersama Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Sebelum ini, jenazah Zayn Rayyan ditemukan di aliran air berhampiran kawasan kediamannya oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama polis.

Jenazah Zayn Rayyan ditemui di saliran berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya kira-kira pukul 10 malam pada 6 Disember 2023.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa. – MalaysiaGazette