KUALA LUMPUR – Malaysia bersetuju meningkatkan bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) susulan tindakan beberapa negara besar menghentikan sumbangan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain bantuan tahunan, Malaysia baru-baru ini telah menyumbang tambahan AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA selain AS$250,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan AS$500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
“Petang semalam saya sempat berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi. Dalam perbualan telefon itu, saya zahirkan ucapan tahniah atas kemenangannya dalam pilihan raya Mesir.
“Saya turut sampaikan penghargaan buat Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir atas peranan penting mereka membantu mempermudahkan urusan penghantaran 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai AS$1.2 juta dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza.
“Kami berdua senada dalam menzahirkan komitmen berterusan membantu saudara kita di Palestin,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Saat ini, menurut Anwar, beberapa ahli Parlimen Malaysia daripada blok kerajaan dan pembangkang sedang dalam perjalanan ke Rafah bagi menyatakan sokongan buat Mesir dan membantu urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari negara kita ke Gaza.
“Alhamdulillah, Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir membantu urusan wakil kita dan semua Ahli Parlimen Malaysia telah diberi kebenaran untuk mengunjungi sempadan Rafah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette