KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri memandang serius dan amat kesal dengan tindakan penyebaran satu salinan Nota Diplomatik bertarikh 20 September 2023 bertaraf sulit yang diterima oleh Kedutaan Besar Malaysia di Rabat, Maghribi.
Menurutnya, Kementerian Luar Negeri sentiasa menekankan kepentingan memelihara kerahsiaan komunikasi diplomatik dengan negara-negara sahabat dan rakan-rakan antarabangsa lain.
Penyebaran dokumen berkenaan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan siasatan dalaman oleh kementerian ini mendapati penyebaran itu bukan berpunca daripada pihak dalaman.
Katanya, Kementerian Luar Negeri telah memberikan penjelasan berhubung perkara ini kepada negara sahabat berkenaan dan menyatakan kekesalan di atas perkembangan ini.
Pada masa yang sama, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dimulakan.
“Kementerian ini akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa di dalam proses ini,” ujarnya.
Nota diplomatik didakwa tersebar itu berkaitan dengan seorang lelaki mendakwa warga Maghribi yang mengaku berada dalam jalur keturunan Nabi Muhammad SAW.
Kementerian Luar Negeri menggesa supaya tindakan penyebaran dokumen berkenaan dihentikan, mengambil kira implikasi negatif kepada keyakinan dan kepercayaan komuniti antarabangsa terhadap imej dan integriti Malaysia. – MalaysiaGazette