KUALA LUMPUR – Ketangkasan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya menahan seorang suspek yang lari ke dalam semak setelah dikejar sejauh 100 meter, namun buntu dan akhirnya menyerah diri.
Lelaki warga tempatan berusia 23 tahun itu ditahan dalam Ops Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di sempadan negara bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Tumpat ketika cuba menyeludup petrol ke negara jiran.
KPDN berkata, pihaknya mengesan suspek bersama lagi beberapa kenderaan lain sedang leka membuat pengisian berulang kali di sebuah stesen minyak di Kelaboran sebelum mereka beredar secara berbahaya dan melulu dari stesen selepas menyedari sedang diserbu.
“Pasukan mengekori sebuah kenderaan suspek tersebut sejauh 7 kilometer dari stesen minyak tersebut, namun suspek berhenti sebelum sebuah jambatan, terus bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran.
“Namun ketangkasan pasukan operasi berjaya menahan saspek di dalam semak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kereta jenis Proton Saga berpendaftaran tempatan yang ditemui tepi jalan sebelum Jambatan Sungai Nangka, Jalan Terbok – Kelaboranpada jam 7.15 petang pada Khamis disyaki membawa muatan minyak petrol di dalam tangki minyak kenderaan yang telah diubah suai.
Lelaki iti ditahan untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN berkata, semasa disoal siasat di tempat kejadian, suspek mengaku melakukan kegiatan penyelewengan, dengan membawa bahan api itu ke pengkalan haram sekitar Tumpat untuk diseludup ke negara jiran. – MalaysiaGazette