Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bercakap kepada media selepas Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 24 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing menasihatkan Datuk Dr Ammar Abd Ghapar supaya belajar menerima kelemahan diri daripada berterusan menuding jari kepada pihak lain.

Menurut beliau, dakwaan kononnya penurunan pangkat Dr Ammar sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia tidak mengikut proses itu tidak benar sama sekali.

Tuduhan beliau membuat keputusan sendirian itu juga dakwaan semata-mata, kata King Sing.

Kata beliau, notis penamatan itu bukan seperti digambarkan oleh Ammar kononnya tidak mengikut peraturan kerajaan dan seperti syarikat sendirian berhad.

“Saya tidak faham, mula-mula untuk tarik simpati anda (Dr Ammar), anda kata telah dipecat kemudian apabila saya dedah kepada media hari ini itu bukan pemecatan sebaliknya turun pangkat kerana prestasi kerja tidak memuaskan kini kata proses itu tidak ikut proses.

“Sebenarnya saya tidak mahu cakap banyak atau panjangkan isu namun perkara ini masih terus dimainkan malah saya difahamkan Dr Ammar sendiri mendakwa ada proses untuk turunkan pangkat atau tamatkan perkhidmatan beliau.

“Kita telah ikut proses, bukan saya seorang buat keputusan. Kita telah minta KSU (Ketua Setiausaha kementerian) bercakap, nasihat dan beri amaran disusuli dengan surat. Kemudian timbalan menteri juga ada panggil nasihat, beri pandangan tapi anda (Ammar) sangat ‘degil’ tidak mahu ikut apa-apa arahan.

“Tidak benar sama sekali ia tidak ikut proses dan buat sesuka hati malah kita ikut undang-undang selaras dengan peruntukan Sesyen 47 Akta Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388),” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ia juga mengikuti peruntukan subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelacongan Malaysia 1992, katanya.

Kata King Sing lagi, adalah sungguh tidak profesional untuk terus ‘menggunakan’ beberapa ahli politik dan agensi tertentu untuk cuba mengkritiknya dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Jelasnya, isu itu tidak perlu dipolitikkan seolah-olah pihaknya ada agenda tertentu termasuk dikaitkan dengan isu rasis.

“Hakikatnya nama Dr Ammar tidak ada dalam hireaki utama untuk jadi ketua pengarah selepas mantan pencen, saya yang telah beri cadangan supaya beliau diangkat kerana pada hemat saya, dengan segala macam kelayakan dan pengalaman beliau (Ammar) pastinya kita dapat bantu lonjakkan industri pelancongan ke peringkat lebih baik.

“Apabila beliau tidak mampu capai prestasi itu, enggan dengar nasihat dan arahan sehingga membantutkan prestasi kerja, saya bersama pasukan lain perlu ambil keputusan ini. Bagi peluang pada yang lebih layak pegang jawatan itu dengan penuh tanggungjawab.

“Saya ini senang sahaja, anda bagus dan layak saya sendiri akan angkat kamu tapi jika kamu tidak jalankan amanah itu, saya tidak akan sesekali sokong kamu. Simple as that.

“Jangan cuba keruhkan keadaan dengan guna orang politik burukkan imej,” tegasnya.

Dalam pada itu, King Sing juga mendedahkan pada notis penamatan sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia itu juga turut ditulis perkhidmatan dan sumbangan beliau akan terus diperlukan bagi merancakan industri pada masa akan datang.

“Tidak ada soal pecat pun, turun pangkat kerana prestasi. Dalam surat itu juga kita tulis harapnya beliau akan terus memberikan sumbangan kepada semua usaha merancakkan pelancongan dalam negara. Jadi mengapa perlu tokok tambah?

“Saya rasa cukup, cukuplah. Industri pelancongan perlukan perhatian dan fokus bukan sahaja untuk negara sebaliknya rakyat di negara ini. Inilah antara peluang untuk menaikkan kembali ekonomi yang terjejas ketika pandemik dahulu. Lebihkan kerja, kurangkan politik tidak betul seperti ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ada proses untuk ambil tindakan jika prestasi saya menurun – Ammar

1 Komen

  1. Macam laaa prestasi ko sbg Menteri bagus sangat? Rakyat nak tahu..apa perkembangan tuduhan ko bahwa pegawai2 imigresen di KLIA rasuah? Bila ko nak bagi bukti? makan gaji buta

Comments are closed.